Skip to main content
Shintaro

Perayaan ‘raya enam’ ini mungkin agak asing bagi ramai. Saya sendiri tidak pernah mengenali perayaan sedemikian sebelum menjejakkan kaki di bumi Patani. Kali pertama saya menyedari kepentingan perayaan ini bagi masyarakat Melayu Patani adalah apabila saya mula bertugas sebagai pensyarah bahasa Melayu di sebuah universiti tempatan di Patani, Thailand Selatan. Setelah habis masa mengajar, saya mengakhiri kelas saya dengan ‘OK, waktu sudah habis. Hari ini sampai di sini sahaja. Jumpa lagi besok.’ Ucapan saya disambut dengan beberapa orang pelajar yang mengatakan bahawa ‘Cikgu, besok raya enam.’ Saya terpinga-pinga dengan ‘raya enam’ ini, tetapi kata mereka, ini adalah perayaan yang sangat penting. Oleh itu, katanya lagi, mereka harus pulang ke rumah. Saya bertanya berapa ramai yang mahu pulang ke rumah. Ternyata kebanyakan pelajar mahu pulang. Walaupun pada ketika itu saya tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘raya enam’, tetapi oleh sebab kebanyakan pelajar mahu pulang ke kampung, maka saya terpaksa membuat aturan untuk membatalkan kelas pada keesokan harinya dan mengadakan kelas ganti pada minggu yang akan datang.

                ‘Raya enam’ ini jatuh pada tanggal 8 bulan Syawal. Alasannya begini. Setelah Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal, orang Islam disunatkan untuk mengerjakan puasa sunat sebanyak 6 hari pada bulan ini yang pahalanya melimpah luah. Jika sunat ini dikerjakan enam hari diturut-turut, (antara 2 Syawal hingga 7 Syawal), hari kemudiannya (8 Syawal), iaitu seminggu setelah Hari Raya Aidilfitri, akan disambut sebagai ‘raya enam’ untuk merayakan berjayanya puasa sunat pada bulan ini.  Namum demikian, perayaan ini disambut baik oleh mereka yang berpuasa dan juga masih belum (atau tidak) berpuasa. Perayaan ini merupakan salah satu budaya Melayu Patani, dan sehingga hari ini masih disambut oleh banyak kampung di seluruh kawasan Patani yang didiami oleh orang Melayu, sungguhpun ada juga sebahagian kampung yang tidak menuruti adat ini.

                Pada tahun ini saya dapat mengikuti acara sambutan ‘raya enam’ ini di kampung halaman isteri saya, Kampung Pobok, yang terletak di Daerah Saiburi (Taluban), Wilayah Pattani. Seperti Hari Raya Aidilfitri, pada tahun ini raya enam juga jatuh pada hari Jumaat. Sempena kesempatan yang istimewa ini, ustaz di kampung berkenaan mengajak orang-orang kampung untuk mengerjakan sembahyang tasbih di surau setelah sembahyang Isyak. Solat ini dihadiri oleh ramai sehingga ada ramai yang terpaksa mengerjakan solat di luar bangunan surau yang tidak begitu besar.

               Dalam perayaan raya enam, tiada ‘solat raya enam’ dan juga tiada ‘khutbah raya enam’. Walaupun begitu, ‘raya enam’ ini merupakan satu amalan adat yang berakar dalam sebahagian besar masyarakat Melayu Patani. Orang kampung juga tidak berkumpul di surau atau di masjid. Tempat berkumpulnya ialah di kawasan perkuburan kampung. Bukan sahaja orang-orang kampung sahaja yang datang, tetapi juga didatangi oleh saudara mara ahli kubur, termasuk juga saudara yang agak jauh sehingga hampir tiada orang kampung yang mengenalinya. Dengan kata lain, raya enam ini merupakan hari untuk mengingati ahli kubur.

               Di samping mengingati ahli-ahli kubur, semangat gotong-royong juga amat terserlah. Kaum Adam sejak pagi-pagi datang ke kawasan perkuburan dan melakukan pembersihan kawasan kubur. Kaum Hawa pula menyediakan makanan untuk disedekahkan kepada mereka yang datang ke kawasan perkuburan. Makanan yang disediakan pun pelbagai, termasuk nasi minyak daging, laksa dan juga mihun sup. Semuanya habis licin kerana ramai orang yang datang. Sesuai dengan kerja gotong-royong ini, ramai orang dewasa tidak mengenakan busana istimewa, tetapi memakai baju biasa supaya mudah dalam pekerjaan masing-masing. Namun begitu, kanak-kanak tetap memakai baju yang cantik sama seperti pada Hari Raya Aidilfitri. Kanak-kanak juga diberikan ‘duit raya’. Duit raya ini daripada wang yang disedekahkan oleh ahli-ahli kampung. Pada tahun ini, ada lebih 200 orang kanak-kanak, dan mereka mendapat 20 Baht seorang sebagai ‘duit raya’.

               Demikianlah keterangan secara ringkas sambutan ‘raya enam’ yang amat unik dan signifikan dalam budaya Melayu Patani.