Skip to main content

Himpunan sepuluh buah cerpen serta 24 buah sajak ini, yang dihasilkan oleh pensyarah bahasa Melayu dari Universiti Walailak, Thailand, mempunyai keistimewaan tersendiri. Keistimewaan buku ini lahir daripada latar belakang penulis yang amat unik.

Buku ini dihasilkan oleh seorang anak Melayu Patani, iaitu bangsa Melayu yang (diwajibkan) memiliki warganegara asing (Thai), yang keturunannya sehinggak ini tidak diakui secara rasmi. Dengan demikian, di atas kad pengenalan diri beliau yang dikeluarkan oleh pemerintah Thai, Saudara Abdul Razak, seperti anak-anak Melayu di Negara Gajah Putih ini, dicatat sebagai ‘warganegara Thai’ dan ‘keturunan Thai’. Tetapi tindakan biadab ini tidak pernah melemahkan semangat kemelayuan serta jati dirinya sebagai seorang bangsa Melayu yang sekental-kentalnya. Sebaliknya, beliau berpegang kepada kemelayuannya sendiri sehingga berjaya menghasilkan sebuah buku yang semua karyanya ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa ibundanya, walaupun bukan bahasa negaranya.

Seperti yang diulas oleh Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan, buku ini menceritakan sesuatu yang ‘asing’ bagi pembaca umum di alam Melayu yang tidak atau kurang mengenali Patani. Karya-karya dalam buku ini jelas menunjukkan latar belakang penulis yang amat berbeza daripada penulis-penulis yang lain dari Malaysia. Dengan kata lain, penulis ialah anak Melayu yang berasal daripada sebuah kawasan yang sudah menjadi negeri asing bagi dunia Melayu.

Patani pernah diperintah oleh kerajaan Langkasuka yang muncul dalam catatan sejarah China, dan kemudian oleh kerajaan Melayu Patani sehingga kawasan ini jatuh ke tangan Siam sepenuhnya pada awal abad ke-20. Pada zaman kerajaan Melayu, Patani masih menjadi sebahagian daripada dunia Melayu. Tetapi kini, sekurang-kurangnya dari segi geopolitik, Patani sudah menjadi sebahagian daripada Thailand, iaitu negeri asing. Bukan itu sahaja, dasar asimilasi yang agresif dan melanggar hak-hak asasi manusia, termasuk juga penafian dan pengharaman budaya-budaya tempatan yang dilakukan terus-menerus oleh pihak pemerintah Siam, seterusnya Thai juga semakin ‘mengasingkan’ Patani daripada negeri-negeri Melayu di dunia Melayu yang lain, kerana pemerintah Siam/Thai cuba menghapuskan bangsa Melayu dari tanah jajahannya. Dasar asimilasi ini amat berjaya di beberapa wilayah di Bahagian Selatan Thailand. Contohnya, di Wilayah Satun, pada kira-kira satu abad yang lalu, semua kampung dalam wilayah berkenaan (kira-kira 300 buah kampung) menggunakan bahasa Melayu. Kini jumlahnya tinggal 13 buah sahaja, dan pengguna bahasa Melayu kebanyakannya golongan tua.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan dasar asimilasi, yang digambarkan sebagai ‘penjajahan’ oleh pihak pejuang pembebasan Patani, ada juga segolongan manusia Melayu yang tidak mengaku kalah (atau, dalam bahasa Melayu Patani, ‘tok jong’), dan penulis buku ini ialah salah seorang daripadanya.

Karya-karya yang dimuatkan dalam buku ini jelas mencerminkan pengalaman hidup beliau yang banyak merantau ke tanah asing. Anak Patani kelahiran Menara (Narathiwat) ini tamat pengajian ijazah pertama di Patani, dan menyambung pengajiannya di Universiti Malaya. Setelah itu, beliau bekerja sebagai pensyarah bahasa Melayu di Universiti Prince of Songkla, Kampus Patani, dan berpindah ke Universiti Walailak yang terletak di Ligor (Nakhon Sri Thammarat). Pengalaman beliau yang menghabiskan banyak masa di negeri asing pula digambarkan oleh watak yang muncul dalam cerpennya. Sudut pandangannya ialah berbeza anak Melayu yang dilahirkan di mana-mana negeri Melayu di Malaysia, melainkan di Patani.

Saya sudah bermastautin di Patani sejak tahun 1999. Oleh itu, sudut pandangannya tidak asing lagi. Tetapi saya tetap menganggap karya beliau amat unik kerana ini kali pertama bagi saya membaca luahan hati anak Melayu Patani (suara aslinya) dalam bentuk cerpen bahasa Melayu.

Penulis buku ini telah pun menghadiahkan senaskah kepada saya, dengan catatan ‘untuk lebih memahami hati nurani anak Melayu Patani’. Pada pandangan saya, catatan penulis ini paling tepat menghuraikan keistimewaan buku tersebut.

Buku ini harus dibaca oleh semua pihak. Buku ini harus dibaca oleh anak-anak Melayu Patani yang jati dirinya kerap kali terpengaruh atau terbawa-bawa oleh budaya Siam. Buku ini juga harus dibaca oleh orang Malaysia untuk lebih mengenali Patani, terutamanya jiwa raga orang Melayu Patani. Dan buku ini juga patut diterjemahkan ke dalam bahasa Thai supaya dapat dibaca oleh orang Thai, untuk memahami Patani, sebuah kawasan yang berbeza daripada kawasan-kawasan yang lain di Thailand dengan budaya dan jati dirinya yang tersendiri.

Akhir sekali, saya juga amat berharap semoga buku ini menjadi pencetus semangat buat anak-anak Melayu muda di Patani untuk berkarya dalam bahasa Melayu.