Skip to main content

SETAHUN  DIALOG  DAMAI-  di mana kita ?

(Abu Hafez adalah salah seorang anggota panel dialog damai MARA Patani. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pandangan rasmi MARA Patani)

Hari ini , 1 Disember 2015, genap setahun berlangsungnya proses dialog damai Patani/Selatan Thai  yang boleh kita namakan sebagai Dialog 2. Ia bermula sempena lawatan Perdana Menteri Thai Gen. Prayut Chan-O-Cha ke Kuala Lumpur, bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Disember 2014 . Dalam pertemuan itu mereka bersetuju untuk memulakan kembali proses dialog damai yang terhenti pada penghujung tahun 2013 atas sebab kekacauan politik dalam negara Thai. Proses damai yang dicetuskan  di bawah kerajaan parti Phua Thai pimpinan Ying Luck Shinawatra  yang termeterai pada 28 Febuari 2013 itu kita namakan sebagai Dialog 1 . Itu adalah proses dialog damai rasmi yang pertama di antara kerjaan Thai dengan pejuang-pejuang Patani yang pada ketika itu  di wakili oleh Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani - BRN.

Sebelum itu kerajaan Thai telah mengeluarkan satu arahan Perdana Menteri bilangan 230/2014 bertarikh 26/11/2014 menggariskan pembentukan makanisma untuk proses dialog damai dalam tiga peringkat . Pertama, peringkat polisi di bawah bidang Jawatankuasa Pemandu untuk Dialog Damai( The Steering Committee for Peace  Dialogue) dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. Kedua, pasukan panel dialog ( The Peace Dialogue Panel) diketuai oleh Gen. Aksara Kerdpol dan ketiga, komiti penyelaras peringkat tempatan ( The Area-based Inter-agency Coordination Working Group) di bawah bidang kuasa Tentera Bahgian 4.

Sementara itu  sebuah organisasi payung telah ditubuhkan oleh 6 organisasi perjuangan Patani pada 15/3/15 diberi nama MAJLIS SYURA PATANI atau MARA Patani ( Patani consultative Council-PCC ). Ianya adalah asal daripada initiatif kumpulan aksi  BRN yang memulakan sebuah gerakan dipanggil  MAJLIS AMANAH RAKYAT PATANI sejak 25/10/2014. Pada 5/6/15 MAJLIS SYURA PATANI  telah disahkan penubuhannya oleh Muktamar MARA Patani yang dihadiri oleh perwakilan dari kesemua 6 organisasi tersebut.

Oleh itu dapat difahamkan bahawa proses dialog 2  ini adalah di antara Pasukan Panel Dialog Thai ( sebagai parti A) dengan Pasukan Panel Dialog MARA Patani ( sebagai parti B), manakala kerajaan Malaysia masih berperanan sebagai fasilitator.

Pertemuan sulung  di antara kedua pihak ini berlaku pada 8 April 2014 di Kuala Lumpur. Ia dinamakan sebagai pertemuan sulit tidak rasmi pertama. Gen.Aksara datang bersama dua orang pembantunya , seorang pegawai tinggi daripada Majlis Keselamatan Negara Thai dan seorang  pegawai tentera berpangkat general juga. Manakala di pihak Mara Patani dihadiri oleh 6 orang wakil terdiri daripada  Saudara Awang Jabat selaku Pengerusi MARA  Patani bersama lima lagi ketua atau wakil ketua  organisasi yang membentuk MARA Patani.

Tidak ada agenda khusus bagi pertemuan pertama ini melainkan untuk memperkenalkan diri dan  kesediaan kedua belah pihak untuk memulakan semula proses dialog damai. Gen. Aksara menegaskan beliau dilantik sendiri oleh Perdana Menteri Thai dan tidak ada lagi saluran dialog lain selain pasukan di bawah pimpinan beliau. Pengerusi MARA Patani pula memaklumkan kepada pihak Thai tentang penubuhan MARA Patani yang akan menyertai proses dialog damai nanti.

Pada pertemuan kedua bertarikh 8 Jun 2014 kedua belah pihak termasuk juga fasilitator ,hadir dengan pasukan penuh. MARA Patani (parti B) diketui oleh Ustaz Muhammad Shukri Hari. Kerajaan Thai diwakili oleh Gen.Aksara manakala Dato Seri Zamzamin Hashim mengetui pasukan sekretariat fasilitator. Pada mesyuarat ringkas itu Gen.Aksara menyatakan bahawa beliau bukan sahaja mewakili kerajaan Thai tetapi juga mendakwa mewakili kesemua rakyat di Wilayah Sempadan Selatan untuk berdialog dengan pihak pejuang. Beliau juga meminta supaya  parti B bersetuju untuk menentukan secara bersama mewujudkan kawasan selamat ( safety zone) sempena bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari lagi.

Wakil parti B mempersoalkan dakwaan Gen. Aksara yang  beliau mewakili kesemua rakyat di Selatan  dan adakah termasuk juga rakyat Melayu Patani yang telah memberi dokongan kepada perjuangan ini sejak sekian lama dan pihak pejuang ini mewakili siapa di meja dialog ? Tiada jawapan konkrit diberikan oleh parti A .

Mengenai usul kawasan selamat sempena bulan Ramadhan parti B menolak cadangan itu atas dua sebab. Pertama kerana kesuntukan masa ( sepuluh hari) dan kedua yang lebih penting ialah proses dialog ini belum lagi menjadi rasmi. Walau bagaimana pun parti B akan mengkaji cadangan itu secara mendalam tanpa sebarang ikatan.

Pertemuan itu berakhir dengan kedua pihak bersetuju bahawa tarikh permulaan proses dialog 2 ini adalah pada 1 Disember 2014 dengan bersandarkan semangat proses dialog 1 yang dimeterai  pada 28 Febuari 2013. Proses dialog ini masih di peringkat membina keyakinan (confidence building) dan kesemua perjumpaan di peringkat ini di anggap sebagai "mesyuarat tidak rasmi" .

Pertemuan ketiga dikira sebagai "mesyuarat tidak rasmi ke 2", juga dihadiri oleh pasukan penuh semua pihak, berlangsung pada 25 Ogos 2015. Pada kali ini wakil parti B telah memberi penjelasan secara terperinci berkenaan  MAJLIS SYURA PATANI atau MARA Patani kepada diligasi parti A sepertimana yang diminta( rujuk : http://www.deepsouthwatch.org/node/7204) . Ia disampaikan secara "slide presentation" dan satu dokumen mengenainya telah diserahkan kepada ketua diligasi parti A melalui fasilitator.

Parti A , melalui ketua diligasinya mengakui dan berterima kasih kepada parti B kerana bersama menjadikan bulan Ramadhan yang lalu paling rendah kejadian kekerasan berbanding Ramadhan yang terdahulu, walaupun terdapat sedikit peningkatan pada penghujungnya. Mereka juga meyarankan supaya diadakan kenyataan akhbar bersama ( joint media-statement) untuk memulakan proses dialog secara rasmi. Parti B menolak cadangan itu, sebaliknya mengemukakan tiga cadangan untuk membolehkan proses menjadi rasmi, seperti berikut :

1. Kerajaan Thai bersetuju mengiktiraf dan menerima Mara Patani sebagai parti B dalam dialog damai ( bukan lagi mereka yang berbeza pandangan dengan kerajaan ),

2. Proses dialog damai dijadikan agenda nasional oleh kerajaan Thai demi kelansungan proses sekiranya berlaku perubahan kerajaan, dan

3. Anggota panel dialog damai Mara Patani diberikan kekebalan(immunity) untuk memudahkan perjalanan termasuk juga ke Thailand.

 

Pasukan Gen. Aksara diminta mengkaji dengan halusi cadangan itu dan memberi jawapan jelas pada lain waktu. Mereka juga mengemukan tiga cadangan balas :

1. Mengenal pasti kawasan keutamaan segara yang bersesuaian untuk meningkatkan taraf kualiti hidup rakyat di Wilayah Selatan Thailand,

2. Menetapkan secara bersama "zon selamat" di Wilayah Selatan Thailand, dan

3. Memastikan semua pihak mempunyai akses yang sama terhadap proses perundangan/kehakiman.

Bagi parti B , ketiga-tiga cadangan itu adalah  baik dan relevan , dan sememangnya itu adalah antara beberapa isu , selain daripada  isu-isu penting lain, yang akan dibawa ke meja dialog. Namun begitu selagi proses ini masih lagi tidak menjadi rasmi, dan masih di peringkat membina keyakinan, apa jua perkara tidak boleh dipersetujui atau dilaksanakan tanpa ikatan rasmi. Parti A telah diminta supaya menunjukkan keikhlasan  dan kesungguhan dengan menangani secara serius terhadap 3 cadangan parti B untuk menjadikan proses ini rasmi.

Di akhir pertemuan ini kedua pihak telah diberikan deraf dokumen "Terma Rujukan"( Terms of Reference- ToR) yang telah dicadangkan oleh pihak Malaysia, selaku fasilitator.  Parti A dan B diminta supaya mengkaji , membuat pindaan , memansuh atau menambah mana mana bahgian mengikut pandangan masing-masing. Perbincangan mengenai terma rujukan ini akan ditetapkan pada satu masa yang sesuai nanti.

Pada sebelah pagi 27 Ogos 2015 beberapa orang wakil media Thai telah diberi peluang berjumpa dengan perwakilan MARA Patani dalam satu sidang meja bulat. Pada sebelah petang pula  satu sidang akhbar MARA Patani telah diadakan dihadiri oleh wakil-wakil media Malaysia dan Thailand termasuk juga media antarabangsa. Kedua-dua pertemuan dengan pihak media itu adalah julung kali diadakan dengan liputan meluas kebanyakan media utama tempatan dan antarabangsa termasuk medial sosial.  Kepimpinan MARA Patani sekali lagi menegaskan bahawa penyertaan MARA Patani dalam proses dialog damai adalah untuk  mencari penyelesaian konflik secara adil,menyeluruh dan berkekalan bagi Patani  dan berjuang kearah menentukan nasib sendiri bagi rakyatnya.

Sekitar awal bulan Oktober 2015 Parti B telah menerima surat maklum balas daripada parti A melalui pihak fasilitator. Surat yang ditandatangani oleh Ketua Panel parti A itu memberi pandangan dan ulasan secara terperinci terhadap tiga cadangan oleh parti B pada pertemuan terakhir. Parti A secara "manipulasi" telah mengadunkan 3 cadangan parti A dan parti B menjadikan ia seolah-olah sama dan berkait seperti berikut :

1. Pengikitirafan MARA Patani dikaitkan dengan  keselamatan penduduk dan pengurangan kekerasan,

2. Proses damai sebagai agenda nasional dikaitkan dengan isu pembangunan dan keperluan utama rakyat meningkatkan taraf kehidupan, dan

3. Kekebalan bagi anggota panel parti B dikaitkan dengan prosidur kehakiman /perundangan alternatif secara saksama.

Oleh kerana penjelasan itu agak kabur dan tidak menepati maksud, parti B memilih untuk tidak membuat cadangan balas terhadap surat itu dan akan meminta penjelasan yang lebih konkrit pada pertemuan akan datang. Apa yang dapat difahamkan ialah parti A masih tidak mahu menerima Mara Patani sebagai parti B, kesamaran berkenaan isu agenda nasional dan kabur dengan cadangan kekebalan( immunity).

Pertemuan terakhir ialah pada 11 November 2015 yang dihadiri hanya oleh separuh anggota panel daripada kedua-dua pihak. Tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk mengkaji cadangan parti A supaya ditubuhkan Sekretariat Bersama (Parti A dan B) dengan pihak fasilitator bagi membincangkan isu-isu teknikal. Pada akhir pertemuan ringkas itu cadangan itu ditolak oleh parti B kerana proses masih belum menjadi rasmi. Namun begitu semua bersetuju untuk mengadakan mesyuarat teknikal pada keesokan harinya dengan membentuk pasukan teknikal masing-masing untuk membincang deraf cadangan Terma Rujukan ( Terms of reference ) atau ToR yang disediakan oleh pihak Malaysia.

Keesokan harinya ,12 November 2015, kedua-dua pasukan teknikal bertemu untuk membincangkan Terma Rujukan. Oleh kerana parti A tidak mengutarakan cadangan ToR maka hanya ToR yang dicadangkan oleh parti B diperbincangkan sebagai asas. Terdapat banyak perkara yang menjadi perselisihan dan perbezaan pandangan di kedua belah pihak berkenaan tajuk dan isi kandungan cadangan ToR milik parti B. Untuk mengelak perbahasan yang berjela-jela pihak parti B menyerahkan kepada parti A untuk memberi pandangan serta membuat apa jua pindaan, tambahan ,pemansuhan yang perlu untuk dikaji oleh parti B kemudian. Kedua pihak bersetuju untuk menyambung semula sesi mesyuarat teknikal membincang ToR pada masa lain.

 Adapun berhubung lapuran beberapa media Thai seperti  ISRANEWS  pada 19 November 2015 , MORNING NEWS pada 20 November 2015 dan KOM-CHAD-LEUK pada 22 November 2015, yang menyatakan pada mesyuarat tersebut semua pihak telah bersetuju untuk mengadakan kawasan selamat ( safety zones) di 2 Daerah , Bachok dan Cho-airong, di dalam Wilayah Menara(Narathiwat).  Kami ingin tegaskan bahawa lapuran itu tidak benar,tidak berasas dan perkara itu tidak dibincang langsung di meja dialog selama dua hari itu. Hal ini sudah pun dinafikan oleh MARA Patani melalui beberapa media utama Thailand (rujuk : http://www.deepsouthwatch.org/ms/node/7800). Ia bertujuan untuk mengelak daripada memberi harapan palsu kepada rakyat bahawa kedamaian sudah hampir tercapai.

Di akhir-akhir ini juga didapati beberapa kenyataan daripada jurucakap tentera bahawa keutamaan mereka di dalam proses dialog damai adalah mengurangi kekerasan yang kononnya berpunca daripada pihak pejuang sahaja sedangkan umum sudah mengetahui dan disahkan bahawa kekerasan dan keganasan juga dilakukan oleh pihak kerajaan/tentera dan menjadi kebiasaan pelaku dari kalangan mereka itu sentiasa terlepas daripada hukuman apabila didapati bersalah.

Sekali lagi MARA Patani mengulangi komitmen untuk terus berusaha kearah mencari penyesaian konflik secara aman, melalui proses damai. Pihak Thai juga diminta ikhlas dan jangan sentiasa mencari helah untuk mengalih tumpuan dengan usaha-usaha manipulatif yang jauh menyimpang daripada isu-isu  utama yang menjadi punca sebenar konflik di Selatan.

Adalah dikira berhemah sekiranya pihak Thai berubah sikap dengan menerima dan mengakui MARA Patani sebagai parti B dalam proses ini daripada terus dengan panggilan " mereka yang mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan ". Jika perkara ini dipandang ringan maka tidak mustahil pihak MARA Patani juga boleh memanggil parti A sebagai " Perwakilan yang dilantik oleh kerajaan junta yang tidak sah ". Tentu mereka pun tidak suka.

Proses damai Patani adalah satu proses yang panjang. Satu daripada unsur penting bagi mewujudkan kedamaian  yang hakiki di Patani ialah keadilan,yang menjadi tanggungjawab utama pihak pemerintah Thai. Ia bukan sahaja harus dilaksanakan tetapi harus juga dilihat ia terlaksana dan dapat dirasai oleh rakyat yang sentiasa tertindas dan hak mereka diabaikan. Tiga undang-undang rimba  masih membelengu rakyat di Selatan : Undang-undang Darurat, undang-undang keselamatan dan undang-undang tentera. Teguran terkini daripada Amnesty International berkenaan rekod buruk kerajaan Thai, yang kini dikuasi tentera, terutama dalam bidang hak asasi manusia dan keadilan seharusnya ditangani secara sirius.

 "Tanpa KEADILAN tidak akan ada KEDAMAIAN" .

 

Abu Hafez Al-Hakim - dari Luar Pagar Patani

1 Disember 2015/19 Safar 1437 H