Skip to main content

Peranan ibu bapa pada era globalisasi (dunia tanpa sempadan) ini amat mencabar. Merekalah yang bertanggungjawab atas masa hadapan anak-anak bangsa kita. Peranan mereka sebagai pendidik di sekolah pertama anak-anak sejak turun-temurun lagi. Atas bahu merekalah tanggungjawab memperkenalkan kepada anak-anak nilai-nilai kasih sayang, kasih kepada bangsa dan kasih kepada negara sendiri. Ertinya pengorbanan mereka mendidik anak-anak untuk menunaikan hubungan kepada Allah SWT dan hubungan sesama manusia sangat mulia. Mereka tidak pernah abaikan peranan sebagai ibu bapa, kerana ianya satu amanah Allah yang mesti dipikul dan ditunaikan serta tidak boleh dipertanggunggjawabkan kepada orang lain sebelum diserahkan kepada pihak sekolah kedua iaitu cikgu.

Pendidikan di sekolah kedua ialah cikgu atau ustaz beperanan memastikan anak-anak muridnya menerusi proses pembelajaran yang bernama kurikulum pelajaran untuk mengembangkan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu murid mereka. Tujuannya untuk menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman mereka supaya dapat memberi kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang sihat bagi faedah diri, keluarga serta masyarakat, bangsa dan negaranya.

Dalam masa yang sama anak-anak kita juga terdedah kepada berbagai-bagai alat komunikasi mudah alih seperti telefon bimbit, komputer dan lain-lain yang boleh mengakseskan maklumat dari Alam Maya secara cepat, baik dan buruk, berada di hujung jari, semuanya terdedah kepada anak-anak kita pada era globalisasi ini.

Ibu bapa dan cikgu pada hari ini berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran dalam mendidik anak-anak kita pada era ini. Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesarkan dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan kepada ibubapa dan cikgu dalam menangani cabaran hidup dalam era ini.

Pada era globalisasi ini, pelbagai masalah dan penyakit sosial sedang menunggu masanya. Tidak mengira anak siapa, anak tok guru, anak pemimpin politik, anak ketua masyarakat dan anak warga masyarakat, bila terkena wabak penyakit yang dikenali dengan penyakit libralisme dalam pergaulan dan pluralisme dalam beragama ini, secara adat mampu meranapkan peradaban kebangsaan dan tatasusila budaya bangsa Melayu Islam Patani.

Dengan secara tidak langsung wabak ini, menguntungkan dasar penjajah Siam (Thailand) ”pecah dan perintah” atau dalam bahasa Inggris ”divide and rule” di Patani.

Akibatnya berpecah belah sesama sendiri, kerana berbalah bantah antara ibu bapa dengan cikgu-cikgu atau ustaz-ustaz. Sebaliknya ibubapa sesama ibubapa, anak-anak sesama anak-anak, kerana kebodohan kita sendiri.

Menurut ilmu sosial, libralisme dalam pergaulan adalah sebuah kerangka di mana ada interaksi beberapa individu dan kelompok-kelompok fahaman bebas menurut cara hidup budaya bangsa asing telah menunjukkan rasa saling menghormat dan toleransi satu sama lain, tanpa mengira adat budaya dan kepercayaan agama. Mereka mengamalkan buadaya melampaui batas (hidup cara sendiri) di bawah sistem demokrasi morden tanpa konflik asimilasi.

Contoh: seperti kahwin sejenis (lelaki sama lelaki dan wanita sama wanita), hidup bersama dan beranak pinak (lelaki dan wanita) tanpa pernikahan dan sebagainya.

Kesan dan akibat libral dalam pergaulan yang dapat dilihat dan didengar di Ptani sekarang ialah seperti kes hamil luar nikah atau bayi dibuang di merata tempat, penderaan seksual (sexual gratification), gengsterisme (keras kepala) dan vandalisme (merosakkan harta benda awam), sumbang mahram, ketagihan dadah, ketagihan air daun Ketung dan sebagainya.

Pluralisme agama (religious pluralism) pula adalah istilah khusus dalam kajian perbandingan agama sebagai ”terminologi khusus”, istilah ini tidak boleh diterjemahkan sama dengan libralisme. Misalnya disamakan dengan makna istilah ”tolenransi” saling menghormati (mutual respect), dan sebagainya.

Namun pluralisme adalah satu fahaman yang membahas sudut pandang agama-agama di dunia dari segi perbandingan dan tujuannya. Menurut fahaman ini adalah semua agama adalah sama, tujuannya untuk membuat kebaikan dan sama-sama ingin masuk syurga. Itulah ”pluralisme dalam agama” telah menjadi pembahasan panjang di kalangan para ilmuan dan serjana agama dalam studi agama-agama di dunia (religious studies).

Secara langsung atau tidak langsung, baik libralisme dan pluralisme, kalau kita tidak menjaga dan memantau anak-anak awal lagi, biarkan mereka hidup bebas tenpa sempadan, kata orang pada suatu hari wabak ini akan menular ke dalam masyarakat kita, terutama ke dalam kehidupan pergaulan anak-anak bangsa kita, kerana wabak telah merebak di seluruh dunia sekarang.

Bila terkena wabak ini, institusi keluarga Melayu Islam Patani yang terkenal kaya dengan adat dan budaya serta nilai-nilai murni kesopanan sejak dahulu lagi itu akan ranap dan hancur. Kata pepetah Melayu ”Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi”.

Pesan orang tua-tua kita dahulu bahawa institusi keluarga itu diibaratkan sebuah rumah, ”kuat rumah kerana tiang dan rasuk-rasuknya”. Bila rosak satu maka lama-kelamaan rosaklah bangunan rumah itu keseluruhannya. Oleh itu, ibu bapa dan guru-guru selain mengasuh dan mendidik anak-anak di rumah dan di sekolah, mereka perlu ditambah satu peranan lagi bagi memenuhi tuntutan era globalisasi ini, iaitu peranan sebagai teman dan sahabat yang setia memahami denyut nadi anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka.

Dalam masa yang sama warga masyarakat Melayu Islam Patani juga harus berperanan sebagai tunggak bangsa dalam kehidupan bermasyarakat, baik dalam petuturan harian sesama kita dengan bahasa Melayu Patani (bahasa ibunda kita) maupun dalam pergalan harian bertegur siapa, ingat-mengingati dan nasihat-menasihati atas jalan kebaikan dan kebajikan. Buat yang disuruh dan tinggal yang dilarang oleh Allah SWT.

Realitinya seluruh masyarakat Melayu Islam Patani mempunyai anak, secara umumnya anak orang lain juga adalah anak-anak kita. Maka tepat sekali masing-masing adalah pemimpin, baik di kampung dan di bandar. Bila ketiga-tiga elemen masyarakat kita berfungsi dengan baik, salin tolong-menolong (bedegha) di jalan kebaikan dan kebajikan seperi ”aur dengan tebing” nescaya anak-anak bangsa kita akan baik juga.

Pendidikan Iman dan takwa merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Pendidkan Islam wajib di samping pendidikan akademik semasa, penting melawan gejala sosial pada era globalisasi ini.

Oleh hal demikian, ibu bapa harus mengambil tahu dan berbincanglah selalu dengan anak-anak sejak dari kecil lagi, ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Walaupun sesetengah ibu bapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka dengan cahaya keimanan dan ketakwaan yang cukup, dibanggakan dan yang diharapkan oleh semua ibu bapa juga sebagai anak-anak yang soleh dan solehah.

Bagi ibu bapa dan guru dari semasa ke semasa, perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi antara satu sama lain, baik pihak sekolah maupun pihak ibu bapa untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak kita. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru bila dipanggil. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu anak-anak kita yang bermasalah, dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh guru-guru kepada anak-anak kita didengar dan dipatuhi, tidak menjadi seperti ”mencurahkan air atas daun keladi”.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah anak-anak kita perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Marilah kita sama-sama menjaga “sebelum padi menjadi lalang” dan sebelum “ayam ditambat disambar helang”, marilah kita bersama berkorban masa, tenaga dan fikiran demi masa depan anak-anak bangsa kita tercinta kerana Allah SWT.