Bae Mat – Pembuka Ruang Perbicaraan Publik melalui Siaran Radio

Wan Ahmad bin Wan Daud, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Bae Mat Media Selatan’, telah kembali ke Rahmatullah pada sekitar jam 3 pagi tanggal 11 Jun 2017 M., bersamaan dengan 17 Syawal 1438 H., akibat penyakit kanser yang dihadapinya sekian lama. Kepergian beliau pada usia yang begitu muda, 53 tahun, menyebabkan masyarakat Patani bersedih dan berdukacita. Pada hari kepergiannya, cuacanya sangat panas, tetapi pada jam dua petang, sejam sebelum pengebumian, tiba-tiba hujan lebat diturunkan, membasahi bumi yang akan menerima jasadnya. Cuacanya juga menjadi nyaman, memudahkan para jemaah berjumlah ramai yang menghadiri solat jenazah dan mengikuti pengebumiannya di Perkuburan Tok Ayah yang terletak di kawasan Cabang Tiga di pinggir kota Pattani.
Bae Mat terkenal dalam masyarakat Patani kerana peranan dan sumbangan beliau terhadap masyarakat tempatan melalui pelbagai peranan yang pernah dimainkannya. Beliau bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Perundangan Wilayah (yang orang tempatan panggilnya sebagai ‘so co’, singkatan dalam bahasa Thai). Beliau juga mengendalikan beberapa jenis perniagaan. Saya mengenali beliau buat kali pertama sebagai ‘tauke basikal buruk Jepun’, iaitu pengimport basikal terpakai dari Jepun. Walau bagaimanapun, pengetahuan saya tentang sumbangan beliau dalam bidang-bidang tersebut sangat terbatas, dan hal ini hars diserahkan kepada mereka yang mengenali Bae Mat secara lebih dekat.
Apa yang ingin saya sampaikan melalui artikel ini ialah peranannya dan jasanya sebagai pejuang pendamaian Patani melalui media, terutamanya melalui siaran radio. Walaupun agak janggal, saya menggunakan istilah ‘pendamaian’ ini bagi beliau sebagai kata terbitan bagi kata kerja ‘mendamaikan’, iaitu melakukan sesuatu bagi mewujudkan kedamaian, bukan ‘perdamaian’ yang kata kerja asalnya ialah ‘berdamai’, iaitu berbaik-baik antara satu sama lain supaya keadaanya dmai, atau ‘kedamaian’ sebagai kata nama yang menunjukkan status atau kondisi. Hal ini kerana apa yang dilakukan oleh beliau sebelum beliau meninggal dunia yang fana ini ialah segala usaha untuk cuba mewujudkan kedamaian yang hakiki di bumi ini mengikut kemampuan yang diberikan kepadanya.
Beliau mula menceburkan diri dalam bidang perhubungan awam atau media melalui penubuhan rangkaian stesen radio yang bernama “Ruam Duai Chuaikan”, bermaksud “Sama-sama Tolong-menolog”, dan rangkaian ini akhirnya berkembang menjadi sebuah stesen radio yang bernama “Media Selatan”. Istilah “selatan” ini digunakan kerana Patani terletak di selatan Thailand.
Stesen ini juga menjadi terkenal setelah sebuah rancangan “Dunia Hari Ini” dilancarkan. Bae Mat sendiri menjadi hos utama rancangan tersebut, dan mendapat sambutan yang begitu hangat daripada para pendengar. Hal ini boleh dibuktikan daripada bilangan talian daripada para pendengar yang tidak pernah putus sepanjang rancangan ini dikendalikan. Secara purata sebanyak 20 hingga 30 pendengar memberikan pandangan, da nada pula banyak orang yang ‘mengepek (bersungut)’ keranan taliannya tidak dapat disambungkan.
Saya mula mengenali beliau dengan mesra setelah saya diundang ke rancangan tersebut pada tahun 2013, setelah Persepakatan Umum untuk Proses Dialog Damai Patani ditandatangani oleh wakil kerajaanThailand, Lt. Gen Paradorn Pattanatabut dan wakil Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (B.R.N.), Ustaz Hasan Taib pada tanggal 28 Februari dalam tahun yang sama. Proses damai membua ruangan umum politik (political public space), dan rancangan Dunia Hari Ini boleh diibaratkan sebagai sekumtum bunga raya (yang dianggap sebagai lambang kedamaian di Patani) yang mekar di dalam ruangan yang baru dibuka ini. Mula-mula saya muncul sebagai tetamu rancangan secara tidak tetap, tetapi setelah beberapa kali muncul dalam rancangan, saya diminta oleh Bae Mat untuk menjadi hos bersama untuk setiap hari Khamis. Tiada sebarang alasan untuk menolak tawaran ini. Saya juga menikmati peluang untuk bertukar-tukar pandangan bersama para pendengar.
Izinkanlah saya menceritakan pengalaman sendiri untuk menunjukkan betapa hebatnya sambutan Dunia Hari Ini melalui Media Selatan ini. Setelah saya menjadi ‘keluarga Media Selatan’ melalui rancangan tersebut, ketika saya berbual-bual dengan orang kampung, peniaga atau makcik-makcik penjual barang di pasar, tiba-tiba mereka akan bertanya, ‘Ni, Achan Shintaro deh?’, lebih kurang bermaksud, ‘Ini Cikgu Shintaro, ya?’. Saya bertanya balik, ‘Lagu mano mokcik boleh tahu namo sayo?’ Kejadian seperti ini bukan berlaku sekali dua, tetapi berpuluh-puluh kali. Sebenarnya saya tidak perlu bertanya soalan ini, kerana jawapannya seratus peratus sama, iaitu melalui radio. Saya juga pernah menjadi hos rancangan radio tentang ASEAN di sebuah stesen yang dikendalikan oleh institusi pengajian awam tempatan selama hamper dua tahun. Saya hanya dua kali sahaja ditegur oleh ‘pendengar’ tentang rancangan ini. Tetapi halnya berbeza dengan Dunia Hari Ini. Pergi ke mana sahaja, selagi kawasan itu diliputi gelombang Media Selatan, di situlah pasti ada orang yang mengenali saya, bukan wajah saya tetapi suara saya.
Rancangan ini, menurut para pendengar yang saya pernah temui, yang jumlahnya tidak sedikit, menyampaikan berita yang benar, dan memberikan maklumat dan kefahaman tentang apa yang sedang berlaku di Patani. Rancangan ini dikendalikan dalam bahasa yang paling mesra bagi penduduk Melayu tempatan, iaitu bahasa Melayu Patani (kecuali jika tetamu khas yang diundang tidak berbahasa Melayu), dan Bae Mat pula merupakan pembicara awam bahasa Melayu Patani yang unggul. Ramai orang tertarik dengan nada suaranya, gaya percapakannya yang bersahaja dan gurauannya yang menggelikan hati.
Di samping itu, faktor yang menyebabkan rancangan ini mendapat sambutan yang begitu hangat ialah pendirian rancangan ini untuk membua ruang bagi semua pihak, termasuk juga mereka yang ‘mempunyai pandangan yang berbeza daripada kerajaan’. Pendirian seperti ini memang berisiko, terutamanya di daerah konflik seperti di Selatan Thailand ini. Kebanyakan pengamal media mengambil ‘jalan yang aman’, iaitu hanya menyalurkan pandangan yang bersesuaian dengan pihak pemerintah, atau sama sekali tidak menentu isu yang berkaitan dengan soal keamanan. Hal ini kerana jika mereka menyatakan pendirian yang tidak sejajar dengan pihak pemerintah, atau hanya menyalurkannya, secara automatis pihaknya dianggap sebagai penyokong pemberontak. Tidak hairanlah sesetengah pihak memandang Media Selatan sebagai corong suara pemberontak. Walau bagaimanapun, tuduhan-tuduhan ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan jauh sekali daripada hakikat.
Walaupun secara de facto Bae Mat memang pengasas Media Selatan, beliau tidak pernah memanggilnya sebagai stesen radio miliknya. Sebaliknya, beliau menganggap keberadaan media sebgai ‘media rakyat’, iaitu wakaf yang dimiliki secara kolektif oleh masyarakat Patani. Dengan demikian, hasrat Bae Mat bukan untuk menjadi corong suara bagi mana-mana pihak melainkan rakyat Patani. Oleh itu, jika ada rakyat Patani yang mempunyai pandangan yang tidak disenangi oleh pihak pemerintah, stesen ini juga tidak menghalang atau tidak melakukan sebarang penapisan selagi ia menjadi suara sejati daripada rakyat Patani.
Pendirian serta keberanian stesen juga diterima oleh pihak pejuang pembebasan Patani (yang menurut pemerintah ialah peberontak), sehingga Ustaz Hasan Taib yang memimpin delegasi proses damai daripada pihak B.R.N., memberikan wawancara eksklusifnya buat kali pertama kepada pihak Media Selatan. Pencapaian ini luar biasa kerana media yang mewawancarai beliau bukan daripada media internasional atau media nasional Thailand, tetapi media tempatan yang statusnya hanya sebagai stesen radio komuniti (community radio).
Walaupun demikian, ini tidak bermakna Media Selatan berpihak kepada pihak pejuang semata-mata, kerana sebenarnya stesen berkenaan memberikan lebih banyak peluang kepada delegasi pihak pemerintah untuk mengikuti rancangan melalui cara phone-in. Dengan itu jelaskah bahawa hasrat stesen tersebut berada pada pembukaan ruangan perbicaraan politik di daerah konflik, bukan untuk keberpihakan kepada mana-mana pihak.
Rancangan ini juga menjadi satu peluang untuk mengetahui pandangan yang sebenar daripada rakyat tempatan. Misalnya, kini ada pihak yang menjalankan projek yang dinamakan Pendidikan Dwibahasa. Apa yang dimaksudkan dengan dwibahasa ialah pendidikan bahasa Thai dan bahasa Melayu dialek Patani dengan menggunakan tulisan Thai, dengan alaasan bahawa bahasa Melayu Patani tidak mempunyai tulisannya sendiri. Pelaksanaan projek ini juga berdasarkan hasrat orang tempatan setelah penyelidikan tertentu dilakukan, kononnya. Tetapi penyelidikan tersebut tidak mengambil kira sifat sensitif isu yagn sedang dibicarakan.
Isu bahasa Melayu, sejak zaman Haji Sulong (antara tahun 1940an hingga pertengahan 1950an), seorang pemimpin masyarakat Melayu Muslim Patani yang mengemukakan Tuntutan 7 Perkara. Tuntutan tersebut merupakan tuntutan pengagihan kuasa pemerintahan, dan antara 7 perkara ini, terdapat dua perkara yang berkaitan dengan bahasa Melayu, iaitu bahasa Melayu hendaklah dijadikan sebagai bahasa rasmi bersama bahasa Thai, dan pendidikan rendah hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Hak-hak linguistik tersebut sebenarnya menepati standard antarabangsa. Namun, dalam konteks Thailand pada zaman itu, tuntutan sedemikian dianggap sebagai ‘pemberontakan’ terhadap pemerintah. Haji Sulong dipenjarakan, dan akhirnya dihilangkan secara paksa bersama anak lelaki dan dua orang lagi temannya.
Dengan latar belakang sejarah sedemikian, tambahan pula dalam konteks koflik bersenjata, sebarang pandangan yang mempromosikan bahasa Melayu dikira sebagai ‘pemberontakan’. Walaupun kini keadaannya lebih baik daripada dahulu, tetapi di daerah ini, penggunaan bahasa Melayu pernah dilarang di sekolah-sekolah kerajaan (dan pelanggar peraturan didenda), dan papan-papan tanda dalam tulisan jawi, seperti nama-nama kampung, pernah dicabut oleh pihak aparat pemerintah. Oleh itu, apabila sebarang penyelidikan dilakukan oleh ‘orang luar’, para informan cenderung untuk memberikan jawapan yang paling selamat dan aman baginya, walaupun jawapan tersebut tidak semestinya mencerminkan hasrat yang sebenar. Perbuatan seperti ini memang sejajar dengan fitrah manusia yang menginginkan kehidupan yang aman, dan boleh didapati di mana-mana, terutamanya di daerah yang kehidupan rakyatnya diancam oleh faktor-faktor tertentu seperti konflik, keterbahasan kebebasan bersuara, keganasan, penjajahan dan sebagainya.
Apabila kami mengangkat isu Projek Pendidikan Dwibahasa, rancangan Dunia Hari Ini mendapat sambutan yang laur biasa, dan bunyi panggilan telefon tidak berhenti. Kami hanya mampu memberikan peluang kepada sekitar 36 atau 37 suara sahaja. Antaranya, tiada satu pun suara yang menyokong program pendidikan tersebut. Salah seorang pakar bahasa juga menelefon ke stesen (yang kami kanal daripada suaranya, tetapi kami tidak menyebut namanya di dalam rancangan), menggambarkan perbuatan seorang profesor Thai yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut sebagai ‘penghinaan terhadap bahasa Melayu’ dan beliau ‘harus meminta maaf kepada masyarakat Melayu Patani’. Dalam penyelidikan secara permukaan, pandangan yang penuh dengan semangat nasionalism Melayu seperti ini jarang sekali muncul, kerana para informan takut nanti isi percakapannya disampaikan kepada pihak tertentu kelak. Tetapi Dunia Hari Ini dianggap oleh para pendengar sebagai ruangan yang bebas dan selamat. Pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh para pendengar seperti ini menjadi bukti yang jelas.
Pendirian begini memang mengundang risiko, dan Media Selatan sentiasa berada di bawah pengawasan pihak keamanan. Meskipun begitu, oleh kerana amanahnya yang diserahkan kepada stesen sebagai media rakyat yang sejati, maka Media Selatan pun tidak berganjak daripada pendiriannya. Itulah sebabnya kenapa Media Selatan disayangi oleh rakyat.
Malangnya, apabila rampasan kuasa berlaku pada bulan Mei 2014, Media Selatan juga terpaksa ‘tutup kedai’ buat sementara ekoran perintah Dewan Penjaga Ketertiban dan Keamanan (begitulah tentera yang merampas kuasa memanggil dirinya) untuk menutup semua stesen radio komuniti di seluruh negara. Setelah rampasan kuasa, pengawasan dan pengawalan media menjadi sangat ketat, dan stesen yang mahu beroperasi perlu mendapat izin daripada pihak pemerintah.
Jangka waktu hamper tiga tahun merupakan fasa perjuangan terakhir bagi Bae Mat. Beliau harus berulang alik antara Patani dan Bangkok untuk menghadiri mesyuarat dan berurusan dengan pihak Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi. Akhirnya izin untuk membuka stesen Media Selatan dikeluarkan pada awal tahun ini sehingga dapat beroperasi semula sehingga hari ini. Seyogia diingatkan bahawa perjuangan ini dilalui oleh Bae Mat yang menghidapi penyakit kanser yang berada pada tahap terakhir (4) pada ketika itu.
Setelah stesen Media Selatan dibuka semula, rancangan Dunia Hari Ini diserahkan kepada pengacara generasi muda, dan Bae Mat hanya muncul sekali sekala sahaja, selagi kesihatannya mengizinkan. Walau bagaimanapun, kondisinya menjadi semakin uzur, dan beliau menghembuskan nafas terakhir setelah menghidupkan kembali stesen rakyat kesayangannya.
Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa Media Selatan mendapat sambutan yang begitu hebat daripada rakyat Patani kerana stesen ini menjadi media milik rakyat. Bae Mat mencurahkan tenaga dan masa terakhir yang diperuntukkan baginya untuk menghidupkan kembali media suara rakyat. Selain banyak sekali sumbangannya terhadap masyarakat, ini juga satu pusaka yang ditinggalkan oleh arwah kepada masyarakat Melayu Patani.
Saya meminta supaya seluruh keluarga Media Selatan meneruskan perjuangan arwah berdasarkan hasratnya, dan semoga para pendengar juga memberikan pandangan, nasihat dan tunjuk ajar semoga Media Selatan tetap menjadi ‘media rakyat’ dalam erti kata yang sebenar. Media Selatan perlu disokong sepertimana kita menyokong keluarga Bae Mat.
Saya pernah menjadi guru pembimbing bagi anak saudara Bae Mat, iaitu Saudari Wannur Firdaw. Malangnya, dia meninggal dunia lebih awal akibat nahas jalan raya (yang pesalah belum lagi ditangkap) semasa masih menuntut di universiti. Akhirnya beliau juga dapat bertemu dengannya di sana...
Al Fatihah buat roh rakan seperjuanganku yang sudi bertindak sebagai orang tuaku di Patani. Selamat berehat, Bae Mat. Insya Allah, semangat perjuangan akan kami warisi di sini.