Skip to main content

Saya pernah menolong sebuah rancangan radio bahasa Siam selama kira-kira dua tahun di stesen radio yang dimiliki oleh universiti tempatan. Rancangan itu berkenaan dengan Komuniti ASEAN dan panjangnya satu jam. Sebelum menyertai rancangan, saya juga terpaksa menyiapkan diri dengan materi berita dalam bahasa Siam tiap-tiap minggu, tebalnya rata-rata 15 halaman kertas A4. Selama menolong stesen berkenaan (secara percuma), hanya tiga kali sahaja saya ditegur oleh penduduk tempatan berkenaan dengan rancangan berkenaan. Pengalaman itu ada baiknya untuk meningkatkan kemahiran bahasa Thai saya, tetapi saya juga mula ragu-ragu tetang dampak serta manfaatnya terhadap masyarakat. Saya mengemukakan beberapa cadangan untuk membincangkan proses damai, tetapi ditolak oleh stesen. Akhirnya saya tidak lagi dapat merasai apa-apa faedah, lalu saya pun meminta untuk mengundur diri dari rancangan tersebut.

Pada masa yang hampir sama, saya juga mula muncul dalam satu lagi rancangan radio yang bernama 'Dunia Hari Ini dari stesen Media Selatan. Pada mulanya saya dipanggil oleh pihak stesen apabila ada kejadian-kejadian yang signifikan sahaja, tetapi akhirnya diminta untuk menyertainya secara tetap, seminggu sekali pada malam Khamis.

Mula-mula saya agak berat hati kerana rancangan ini bukan sejam tetapi dua jam, dan tiada ganjaran kewangan juga. Tetapi saya anggap ini sebagai amanah dari pihak stesen, lebih-lebih lagi rancangan yang dikendalikan dalam bahasa Melayu dialek Patani ini juga boleh menjadi satu tunjang dalam usaha perjuangan bahasa Melayu Patani.

Sekarang saya sudah bersama dengan rancangan Dunia Hari Ini hampir setahun, tetapi dampak keterlibatan dalam rancangan ini luar biasa. Saya sudah tidak boleh ingat lagi berapa kali ditegur oleh orang Melayu Patani tentang rancangan ini, terutamanya orang yang sebelum ini saya tidak kenal sama sekali.

Pada beberapa ketika saya singgah di kedai runcit atau restoran yang belum pernah dimasuki, saya sudah diketahui oleh orang di kedai. Apabila saya memesan makanan, mereka sudah mengenali suara saya, dan ditanya adakah saya 'ajarn shintaro?'.

Sekiranya saya ke kampung yang gelombang Media Selatan sampai, pasti ada pengikut rancangan Dunia Hari Ini, dan ditegur oleh mereka. Hal-hal seperti ini tidak pernah berlaku ketika saya bertugas di stesen radio yang dimiliki oleh universiti kerajaan Thai.

Setelah rampasan kuasa berlaku, pemerintah kuku besi tentera sudah keluarkan perintah supaya semua radio komuniti seperti Media Selatan harus ditutup untuk satu tempoh (yang tidak ditentukan). Dengan itu, sudah hampir tiga minggu Dunia Hari Ini tidak menemui sidang pendengar melalui udara.

Kebetulan pada minggu yang lalu, seorang wartawan dari Reuters, yang pernah membuat liputan tentang Patani beberapa kali, datang ke Patani sekali lagi untuk melaporkan keadaan di Patani setelah rampasan kuasa.

Satu permintaan wartawan tersebut ialah ingin mendengar suara penduduk tempatan secara langsung. Saya cadangkan nama sebuah kampung di Wialayah Pattani. Kampung ini menjadi terkenal setelah sebuah insiden tembakan rambang oleh askar semasa kepungan kampung. Saya dimaklumkan bahawa kesedaran penduduk kampung ini sangat tinggi. Kampung berkenaan bernama Tanjung Pauh. Saya meminta seorang kawan dari kalangan aktivis yang pernah mengadakan forum di sana untuk membawa kami ke sana.

Kami hanya kira-kira dua jam sahaja di sana, tetapi berpeluang untuk mengutip banyak kisah yang sebelum ini tidak diketahui daripada perbualan dengan penduduk kampung yang begitu mesra dan ghairah untuk menceritakan pengalamannya sendiri. Sikap terbuka mereka amat menakjubkan.

Apabila ditanya tentang keadaan setelah rampasan kuasa, mereka menerangkan bahawa tidak ada sebarang perubahan, kerana kehidupan mereka sudah buruk sekali, gara-gara terpaksa berada di bawah kekuasaan tentera.

Penduduk kampung juga menyatakan bahawa sekarang orang kampung harus berada dalam ketakutan, kerana tiada lagi sumber berita bagi mereka. Saya bertanya, bukankah ada berita yang disiarkan oleh radio dan televisyen kerajaan?

Langsung sahaja jawapannya diberikan oleh Bilal masjid kampung dengan nada suara yang agak tinggi, 'Bohong belako!'. Oleh sebab satu-satunya saluran yang mereka percayai sudah ditutup, kini mereka tidak lagi dapat mengikuti perkembangan semasa dalam bahasanya sendiri, dengan maklumat yang boleh dipercayai. Mereka sebulat suara menyatakan betapa pentingnya peranan Media Selatan dalam menyalurkan maklumat dan menyedarkan penduduk tempatan, sedangkan stesen ini hanya sebuah radio komuniti kerdil...

Pengalaman ini menyedarkan betapa peranan sebuah stesen radio boleh menjadi penting, sekiranya menyahut kehendak dan hasrat pendengar.

Walaupun kini sudah dipaksa untuk tutup sementara oleh tentera, dan ditekan pula oleh tentera untuk memberi 'kerjasama' kononnya, Media Selatan boleh hidup lagi selagi ada sokongan yang begitu padu daripada pendengar di kalangan rakyat Patani, kerana stesen ini bukan sekali-kali wujud untuk tentera, tetapi untuk orang Melayu Patani.